Jenazah Allahyarham Adnan Abu Hassan Selamat Dikebumikan




ROZINOR Hafiza Mohd Fauzi menabur bunga mawar pada pusara suaminya, Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Ramal, Kajang, pagi tadi. - Foto Owee Ah Chun
Jenazah Allahyarham Adnan Abu Hassan Selamat Dikebumikan


KAJANG: Jenazah komposer terkenal, Datuk Adnan Abu Hassan, yang menghembuskan nafas terakhir pagi tadi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Ramal Dalam, di sini kira-kira jam 9.50 pagi tadi.

Allahyarham yang bertarung dengan komplikasi penyakit akibat angin ahmar, darah tinggi dan kegagalan buah pinggang meninggal dunia di Hospital Selayang pada jam 2.17 pagi, selepas dua hari dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).

Isterinya, Datin Rozinorhafiza Mohd Fauzi, 38, berkata arwah masih boleh berjalan dengan bantuan ketika serangan angin ahmar kali pertama pada November tahun lalu, tetapi serangan kali ini agak teruk.

"Sebelum dikejarkan ke hospital beberapa hari lalu arwah memang tidak sihat. Pagi sebelumnya beliau demam, tetapi panas berkurangan selepas kami mengelap tubuhnya dan membiarkan beliau berehat di bilik.

"Pada sebelah malam saya terdengar beliau menarik nafas panjang. Ketika itulah beliau tidak sedarkan diri dan anak saya terus menghubungi ambulans. Memang kebelakangan ini suami saya agak pendiam, berbeza dengan karakternya yang kuat menyakat.

"Apa pun saya reda dengan ketentuan Tuhan. Memang terasa kehilangan kerana sebelum ini, sepanjang masa kami habiskan masa berdua di rumah, apatah lagi arwah seorang suami dan ayah yang sangat penyayang," katanya.

Katanya lagi, biarpun kurang sihat, Allahyarham turut menyiapkan karya akhirnya iaitu lagu Dirasuk Asmara untuk Nas yang juga peserta Kilauan Emas musim keempat.

Sebelum itu, jenazah Adnan dimandi, dikafankan dan disembahyangkan di Masjid Al-Falah Sungai Ramal Dalam. Antara rakan artis yang menziarahi arwah ialah Datuk Siti Nurhaliza Tarudin bersama suami, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa, Misha Omar dan Datuk DJ Dave.

Sepanjang hayatnya, Adnan membantu memasyhurkan nama ramai penyanyi wanita termasuk Siti, Nora, Aishah, Fauziah Latiff, Liza Hanim, Misha dan Dayang Nurfaizah.

Antara lagu popular ciptaannya pula ialah Jerat Percintaan, Hitam Putih Kehidupan, Camar Yang Pulang, Laguku Untukmu, Kul It, Flora Cinta, Warkah Berlagu Pilu, Di Persimpangan Dilema dan Tiada Noktah Cinta.

Komposer berusia 57 tahun itu juga pernah menerima pengiktirafan Anugerah Wirama pada Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-17.
Share on Google Plus

About Unknown

    Blogger Comment
    Facebook Comment